PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Kesemua perayu untuk kes di hadapan kami telah dituduh di Mahkamah Tinggi ("MT") dengan tuduhan pindaan di bawah s 302 Kanun Keseksaan [KK] dibaca bersama s 34 KK kerana melakukan kesalahan bunuh. Tuduhan pindaan tersebut adalah seperti yang berikut:
"Bahawa kamu bersama-sama dengan Sivachandran a/l Jayarajah (880513- 06-5597), Thiyagu a/l Balakrishnan (850717-06-5807), Sundramoorthy a/l Sukumare (920819-06-5833) dan Suthakar a/l Sivakumar (940605-06-5801) pada tarikh 22hb November 2014, antara jam 2.30 pagi hingga 3.30 pagi, di kawasan tepi Jalan Bendera 13, Taman Bukit Bendera, 28400 Mentakab, di dalam Daerah Temerloh, di dalam negeri Pahang Darul Makmur, dalam mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Pachaippan @ Arasu a/l Arimuthu (711228-06-5427), dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah s 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama s 34 Kanun yang sama."
[2] MT di akhir perbicaraan telah mensabitkan kelima-lima perayu atas kesalahan tersebut dan menjatuhkan hukuman mati terhadap kesemua perayu. Rayuan telah dibuat ke Mahkamah Rayuan ("MR") dan MR menolak rayuan tersebut dan mengekalkan sabitan dan hukuman MT.
[3] Demi memudahkan pemahaman, perayu-perayu, dalam alasan penghakiman ini, akan dirujuk sepertimana dirujuk oleh MR, iaitu: Saimon a/l Anthony sebagai Perayu Pertama; Suthakar Sivakumar sebagai Perayu Kedua; Sivachandran S Jayarajah sebagai Perayu Ketiga; Thiyagu Balakrishnan sebagai Perayu Keempat dan terakhir, Sundramoorthy Sukumare sebagai Perayu Kelima.
Kes Pendakwaan
[4] Kes pihak pendakwaan seperti yang didapati oleh MT dan dirujuk oleh MR adalah seperti yang dinyatakan di bawah.
[5] Pada malam kejadian, Gan Irroshini ("SP18") berada di tingkat atas rumah kedai ayahnya, Gan Tiong Hock ("SP20"). Ayahnya itu, SP20 bersama-sama Chong Choen Hau ("SP19"), Alakiri Swamy Nathan ("SP21"), Gan Soo Lee dan mangsa atau si mati, serta sekumpulan remaja iaitu Ranjit, Dharma, Seelan, Kombi dan Kovalan yang merupakan ahli kumpulan "Geng Siva" sedang menikmati barbeku di tingkat bawah rumah tersebut.