MUHAMMAD AKMAL ZUHAIRI AZMAL & YANG LAIN lwn. PENDAKWA RAYA & SATU LAGI RAYUAN

[2025] 3 MLRA 609

MUHAMMAD AKMAL ZUHAIRI AZMAL & YANG LAIN lwn. PENDAKWA RAYA & SATU LAGI RAYUAN
Mahkamah Persekutuan, Putrajaya
Hasnah Mohammed Hashim KHM, Nordin Hassan, Abdul Karim Abdul Jalil HHMP
[Rayuan Jenayah Nos: 05(M)-103-07-2024(W) & 05(M)-107-07-2024(W)]
28 Mac 2025

PENGHAKIMAN

Nordin Hassan HMP:

Pendahuluan

[1] Kes ini bermula dengan kehilangan sebuah komputer riba seorang pelajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tetapi berakhir dengan kejadian tragis dengan kematian Zulfarhan Osman bin Zulkarnain (Si Mati), yang juga seorang pelajar di universiti yang sama. Kes ini juga mendapat liputan akhbar dan media massa yang meluas di Malaysia atas sebab, antaranya, kematian Si Mati yang dianggap kejam akibat kecederaan luka bakar yang banyak daripada tekapan seterika wap oleh pelaku-pelaku yang juga merupakan penuntut di universiti yang sama. Mahkamah ini, seperti biasa, memutuskan rayuan kes ini berdasarkan undang-undang yang mantap dan analisis fakta daripada keterangan yang dikemukakan di Mahkamah.

[2] Setelah siasatan dilengkapkan, pelaku-pelaku dalam kes ini telah dituduh dengan kesalahan-kesalahan berdasarkan penglibatan mereka. Lima orang daripada pelaku-pelaku tersebut telah dituduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan kesalahan membunuh yang dihukum di bawah s 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama s 34 Kanun yang sama iaitu dengan niat bersama melakukan kesalahan berkenaan. Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi bin Azmal (tertuduh pertama), Muhammad Azamuddin bin Mad Sofi (tertuduh kedua), Muhammad Najib bin Mohd Razi (tertuduh ketiga), Muhammad Afif Najmudin bin Azahat (tertuduh keempat) dan Mohamad Shobirin bin Sabri (tertuduh kelima).

[3] Di samping itu, seorang lagi pelajar di universiti tersebut, Abdoul Hakeem bin Mohd Ali, tertuduh keenam, dituduh dengan kesalahan bersubahat melakukan kesalahan membunuh tersebut iaitu kesalahan di bawah s 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama s 302 Kanun yang sama.

[4] Selain itu, terdapat juga pelaku-pelaku lain, iaitu seramai sembilan belas orang pelajar UPNM yang dituduh di Mahkamah bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Si Mati bagi maksud mendapatkan pengakuan, iaitu suatu kesalahan di bawah s 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama s 34 Kanun yang sama.

Sign up to view full cases Login