SAM KE TING lwn. PENDAKWA RAYA

[2023] 4 MLRA 363

Mahkamah Rayuan, Putrajaya

Hadhariah Syed Ismail, Hashim Hamzah, Azman Abdullah HHMR

[Rayuan Jenayah No: J-09-187-05-2022]

17 Mei 2023

Undang-Undang Jenayah: Akta Pengangkutan Jalan - Seksyen 41(1) - Mengakibatkan kemalangan maut jalan raya yang meragut nyawa lapan orang penunggang basikal - Rayuan terhadap sabitan dan hukuman - Sama ada pertuduhan adalah cacat kerana penduaan (duplicity) - Sama ada tidak ada kes prima facie - Sama ada sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat - Kanun Tatacara Jenayah, ss 163, 422

Perayu telah dihadapkan dengan satu pertuduhan di bawah s 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Mahkamah Majistret kerana mengakibatkan kemalangan maut jalan raya yang meragut nyawa lapan orang penunggang basikal. Selepas satu perbicaraan penuh, Majistret memutuskan pendakwaan gagal membuktikan suatu kes prima facie. Perayu dibebas dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri. Oleh yang demikian Pendakwa Raya merayu ke Mahkamah Tinggi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan Hakim Mahkamah Tinggi ('Hakim Pertama') memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap perayu dan mengenepikan keputusan Majistret tersebut. Seterusnya, perayu diperintahkan membela diri di hadapan Majistret yang sama. Di akhir kes pembelaan, Majistret memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes mereka terhadap perayu tanpa keraguan yang munasabah. Sekali lagi, Majistret memerintahkan perayu dibebas dan dilepaskan. Terkilan dengan keputusan Majistret, Pendakwa Raya merayu ke Mahkamah Tinggi. Hakim Mahkamah Tinggi ('Hakim Kedua') mengenepikan keputusan Majistret dan mensabitkan perayu bersalah seperti pertuduhan. Perayu kini merayu terhadap sabitan dan hukuman. Kes perayu ialah sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Hakim Kedua tidak boleh dipertahankan atas dua alasan berikut: (i) pertuduhan adalah cacat kerana penduaan (duplicity); dan (ii) tidak ada kes prima facie.

Diputuskan (membenarkan rayuan perayu; perayu dibebas dan dilepaskan):

(1) Hakim Pertama telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan kecacatan pertuduhan boleh diperbetulkan di bawah s 422 Kanun Tatacara Jenayah ('KTJ') sedangkan pertuduhan itu mengandungi dua kesalahan, bertentangan dengan peruntukan s 163 KTJ. Seksyen 163 menghendaki satu pertuduhan mengandungi satu kesalahan sahaja. Kes-kes yang dirujuk telah mengesahkan bila s 163 tidak dipatuhi, kecacatan tidak boleh diperbetulkan di bawah s 422 KTJ. Menerima pakai kes-kes yang dirujuk oleh peguam perayu, terdapat merit dalam isu duplicity. Duplicity dalam pertuduhan menjadikan pertuduhan itu menyalahi s 163 KTJ, tidak sah dan tidak boleh diperbetulkan di bawah s 422 KTJ. Salah laksana keadilan telah diakibatkan kepada perayu bila peruntukan undang-undang tidak dipatuhi. Sabitan terhadap perayu juga terbatal kerana dibuat atas pertuduhan yang cacat dan tidak sah. Perayu tidak tahu atas kesalahan yang mana satu beliau disabitkan. Sabitan tidak sah dan terbatal. Atas alasan duplicity ini sahaja, rayuan perayu harus dibenarkan. (perenggan-perenggan 37 & 41)

(2) Dalam kes ini, Majistret bukan sahaja memahami, menghalusi dan mempertimbangkan semua keterangan saksi serta keterangan senyap, malah beliau juga menggunapakai prinsip undang-undang yang betul mengenai beban pembuktian atas pendakwaan semasa membuat penilaian maksima keterangan di akhir kes pendakwaan. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah Hakim Pertama telah terkhilaf bila hanya memberi tumpuan kepada pemanduan perayu semata-mata tanpa mengambil kira kesemua fakta kes. Jika Hakim Pertama mengambil kira pengakuan pegawai penyiasat, SP46, bahawa situasi bahaya diwujudkan oleh kumpulan basikal lajak; bahawa basikal lajak telah menghalang laluan perayu dan kemalangan itu mustahil dapat dielakkan, sewajarnya, Hakim Pertama mendapati tidak ada kes prima facie dan tidak memerintahkan perayu membela diri. Seperti siang mengikuti malam, Hakim Pertama telah terkhilaf bila mengakaskan keputusan Majistret di akhir kes pendakwaan. Atas alasan ini juga, rayuan perayu harus dibenarkan. (perenggan-perenggan 48-50)

(3) Walaupun kes kemalangan maut ini mendapat liputan media yang luas, setiap kes harus diputuskan mengikut lunas undang-undang. Untuk kes ini, sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat kerana dibuat atas pertuduhan yang cacat, menyalahi undang-undang dan tidak sah. Selebihnya, kemalangan maut ini bukan berpunca daripada perayu. (perenggan 51)

Kes-kes yang dirujuk:

Cantona Lim Xiang Kim v. PP [2020] 1 MLRA 749 (dibezakan)

Lim Kheak Teong v. PP [1984] 1 MLRA 126 (dirujuk)

Mohd Haikal Mohd Khatib v. PP [2009] 5 MLRA 17 (dibezakan)

Ng Beng Kok v. PP [2017] 4 MLRA 59 (dirujuk)

Poleon Ajan v. PP [2009] 7 MLRH 714(dirujuk)

Ravindran Ramasamy v. PP [2015] 3 MLRA 112 (diikuti)

Sheo Swamp v. King Emperor AIR 1934 PC 227 (dirujuk)

Wee Hui Hoo v. PP [1985] 2 MLRH 431 (diikuti)

Yap Liow Swee v. PP [1937] 1 MLRH 468 (diikuti)

Perundangan yang dirujuk:

Criminal Procedure Code, ss 163, 164, 165, 166, 170, 422

Firearms (Increased Penalties) Act 1971, s 3A

Penal Code, s 34

Road Transport Act 1987, s 41(1)

Kaunsel:

Bagi pihak perayu: Hisyam Teh Poh Teik (Harvinderjit Singh Sidhu, Muhammad Faizal Mokhtar, Yasmeen Soh Sha-Nisse, Guok Ngek Seong, Peter Siew, Farhad Read, Dennis Chong Chin Vei, Harvinder Singh Sidhu, Shantiny Ng Ya Ting dan Lim Wei Ling bersamanya); Tetuan Balarajah & Co

Bagi pihak responden: Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman (Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Amril Johari bersamanya); TPR

Bagi Amicus Curiae: Ravinder Singh Dhalliwal

PENGHAKIMAN

Hadhariah Syed Ismail HMR:

Pengenalan

[1] Perayu, Sam Ke Ting telah dihadapkan dengan satu pertuduhan di bawah s 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana mengakibatkan kemalangan maut jalanraya yang meragut nyawa 8 orang penunggang basikal. Perayu minta dibicarakan.

[2] Selepas satu perbicaraan penuh dengan 46 orang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, pada 28 Oktober 2019, Majistret yang bijaksana memutuskan pendakwaan gagal membuktikan suatu kes prima facie. Perayu dibebas dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri.

[3] Tidak berpuas hati dengan keputusan Majistret, Pendakwa Raya telah merayu ke Mahkamah Tinggi.

[4] Pada 18 Februari 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru (Hakim Pertama) memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap perayu dan mengenepikan keputusan Majistret bertarikh 28 Oktober 2019. Seterusnya, perayu diperintahkan membela diri di hadapan Majistret yang sama.

[5] Di Mahkamah Majistret, perayu memilih membela diri dengan memberi keterangan tidak bersumpah bertulis (eks D215). Di akhir kes pembelaan, pada 10 Oktober 2021, Majistret memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes mereka terhadap perayu tanpa keraguan yang munasabah. Sekali lagi, Majistret memerintahkan perayu dibebas dan dilepaskan.

[6] Terkilan dengan keputusan Majistret, Pendakwa Raya merayu ke Mahkamah Tinggi.

[7] Pada 13 April 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru (Hakim Kedua) mengenepikan keputusan Majistret bertarikh 10 Oktober 2021 dan mensabitkan perayu bersalah seperti pertuduhan.

[8] Perayu dikenakan hukuman berikut:

(a) 6 tahun penjara dari Tarikh sabitan 13 April 2022;

(b) Denda RM6000.00 jika gagal bayar 6 bulan penjara;

(c) Hilang kelayakan memegang lesen memandu selama 3 tahun sebaik perayu selesai menjalani hukuman penjara;

(d) Butiran sabitan kesalahan ini dicatat di dalam lesen memandu perayu; dan

(e) Lesen memandu perayu hendaklah diserahkan oleh perayu pada atau sebelum 14 April 2022 kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

[9] Terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi, perayu merayu terhadap sabitan dan hukuman.

[10] Pada 18 April 2022, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran merayu kepada perayu.

[11] Kes perayu ialah sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi tidak boleh dipertahankan (unsustainable) atas dua alasan berikut:

(i) Pertuduhan adalah cacat kerana penduaan (duplicity); dan

(ii) Tidak ada kes prima facie.

[12] Rayuan perayu didengar oleh kami pada 31 Mac 2023 dan 11 April 2023. Pada 11 April 2023, secara sebulat suara, mahkamah ini membenarkan rayuan perayu dan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 13 April 2022. Perintah Mahkamah Tinggi digantikan dengan perintah perayu dibebas dan dilepaskan.

Pertuduhan

Bahawa kamu pada 18 Februari 2017 lebih kurang jam 0320 di Jalan Lingkaran Dalam di dalam Daerah Johor Bahru, di dalam Negeri Johor, sebagai pemandu motokar JQB 9984 telah memandu kenderaan tersebut atas jalan raya dengan cara melulu atau dengan cara merbahaya setelah mengambilkira segala hal keadaan jalan (termasuk jenis, keadaan dan ukuran jalan tersebut) sehingga menyebabkan kematian ke atas penunggang basikal:

(1) Mohamad Azrie Danish bin Zulkefli;

(2) Muhamad Shahrul Izzwan bin Azzuraimee;

(3) Muhammad Firdaus Danish bin Mohd Azhan;

(4) Fauzan bin Halmijan;

(5) Mohamad Azhar bin Amir;

(6) Muhammad Harith Iskandar bin Abdullah;

(7) Muhammad Shahrul Nizam bin Maruddin; dan

(8) Haizad bin Kasrin.

Oleh yang demikian itu, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Penduaan (Duplicity)

[13] Seksyen 41(1) APJ 1987 di bawah mana perayu disabitkan memperuntukkan:

Any person who, by driving of a motor vehicle on a road recklessly or at a speed or in a manner which having regard to all circumstances (including the nature, condition and size of the road, and the amount of traffic which is or might be expected to be on the road) is dangerous to the public, causes the death of any person shall be guilty of an offence and shall on conviction be punished with imprisonment for a term of not less than two years and not more than ten years and to a fine not less than five thousand ringgit and not more than twenty thousand ringgit.

[14] Mahkamah Rayuan dalam kes Ng Beng Kok v. PP [2017] 4 MLRA 59 telah memutuskan bahawa s 41(1) APJ 1987 mewujudkan tiga jenis kesalahan yang berbeza iaitu:

(i) limb pertama - driving a motor vehicle recklessly (memandu melulu);

(ii) limb kedua - driving at a speed (memandu laju); dan

(iii) limb ketiga - driving in a manner dangerous to the public (memandu secara merbahaya).

[15] Tafsiran yang serupa diterima pakai dalam kes-kes berikut: Poleon Ajan v. PP [2009] 7 MLRH 714; Wee Hui Hoo v. PP [1985] 2 MLRH 431 dan Yap Liow Swee v. PP [1937] 1 MLRH 468.

[16] Dikatakan tiga kesalahan yang berbeza kerana intipati bagi setiap satu dari tiga kesalahan tersebut adalah tidak sama.

[17] Dalam kes ini, pertuduhan terhadap perayu mengandungi dua kesalahan dalam satu pertuduhan iaitu memandu melulu atau secara merbahaya. Pendakwaan mengaitkan limb pertama dengan limb ketiga s 41(1).

[18] Pada masa rayuan ini didengar pada 11 April 2023, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mengakui (concede) ada duplicity dalam pertuduhan.

[19] Peguam perayu menghujahkan duplicity dalam pertuduhan menjadikan pertuduhan cacat, tidak boleh diperbetulkan di bawah s 422 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan tidak sah. TPR pula berhujah bahawa duplicity adalah semata-mata satu luar aturan (irregularity) yang boleh diperbetulkan di bawah s 422 KTJ.

[20] Untuk mengenepikan sabitan dan hukuman, perayu haruslah menunjukkan bahawa duplicity telah memberi dua kesan berikut:

(i) perayu telah dikelirukan; dan

(ii) salah laksana keadilan (miscarriage of justice) telah diakibatkan kepada perayu.

[21] Mengupas isu kekeliruan, peguam perayu membawa perhatian mahkamah kepada hujahan pihak-pihak semasa prosiding di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi. Di akhir kes pendakwaan di Mahkamah Majistret, TPR menghujahkan kesalahan memandu secara melulu (para 5 ms 2846-2859 RR Jilid 6). Di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Hakim Pertama), TPR menghujahkan kesalahan memandu secara merbahaya. Saya petik hujahan tersebut yang terdapat di ms 67 RR Jilid 1:

"Saya pergi kepada isu pokok iaitu sama ada responden ini telah pun menimbulkan atau mencipta situasi merbahaya dengan pemanduan sama ada melulu atau merbahaya seperti dalam skop s 41. Sama ada responden memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian."

[22] Berikutan daripada hujahan TPR itu, Hakim Pertama menyatakan pendakwaan bergantung kepada limb ketiga s 41(1) iaitu memandu secara merbahaya (sila rujuk para 49 Alasan Penghakiman Hakim Pertama di ms 32 RR Jilid 1). Walaupun nampaknya Hakim Pertama mengatakan pendakwaan telah memilih kesalahan memandu secara merbahaya, tetapi akhirnya Hakim Pertama memutuskan kes prima facie telah dibuktikan bagi kesalahan memandu melulu atau secara merbahaya seperti pertuduhan.

[23] Hakim Kedua juga mensabitkan perayu seperti pertuduhan.

[24] Sementara itu, di Mahkamah Majistret, baik diperingkat pendakwaan mahupun di peringkat pembelaan, perayu membuat hujahan untuk dua kesalahan secara berasingan. Perayu dibebankan untuk membela diri kepada dua kesalahan yang berbeza pada masa yang sama.

[25] Jika di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi, pendakwaan mengakui memandu melulu atau secara merbahaya adalah dua kesalahan yang berbeza, pendakwaan telah mengubah pendirian mereka di peringkat Mahkamah Rayuan. Dalam hujahan bertulis menentang rayuan perayu, TPR menghujahkan "driving was an indivisible act yang mana memandu melulu merangkumi pemanduan merbahaya" (rujuk para 9 hujahan responden di Lampiran 30).

[26] Membaca hujahan pihak-pihak dan alasan penghakiman Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi, kami mendapati duplicity telah menimbulkan kekeliruan kepada pendakwaan, perayu dan mahkamah. Kekeliruan kepada pendakwaan ialah mereka tidak pasti kesalahan yang mana hendak dibuktikan terhadap perayu. Perayu juga terkeliru kesalahan yang mana satu perlu dijawab. Mahkamah juga tidak boleh putuskan dengan pasti kes prima facie telah dibuktikan untuk kesalahan yang mana satu.

[27] Untuk menjelaskan kekeliruan ini,pada masa rayuan ini didengar pada 11 April 2023, TPR telah ditanya apakah kesalahan yang dihadapkan kepada perayu. Jawapan TPR ialah memandu melulu. Bila ditanya lagi, sabitan terhadap perayu adalah untuk kesalahan yang mana satu, jawapan TPR ialah seperti pertuduhan. Bermakna sabitan bukanlah untuk kesalahan memandu melulu.

[28] Daripada naratif ringkas di atas, kami mendapati perayu telah berjaya menunjukkan berlaku banyak kekeliruan pada setiap peringkat prosiding sehingga ke peringkat sabitan. Kekeliruan ini telah memprejudiskan perayu.

[29] Beralih kepada kesan kedua iaitu salah laksana keadilan. Ciri utama yang dilihat ialah:

(a) pertuduhan telah melanggar peruntukan s 163 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) yang menghendaki satu pertuduhan hendaklah mengandungi satu kesalahan sahaja;

(b) pertuduhan yang cacat kerana duplicity tidak boleh diperbetulkan di bawah s 422 KTJ; dan

(c) sabitan atas pertuduhan yang cacat tidak boleh dipertahankan kerana pertuduhan tidak sah.

[30] Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan:

163. Separate charges for distinct offences

For every distinct offence of which any person is accused there shall be a separate charge, and every charge shall be tried separately, except in the cases mentioned in ss 164, 165, 166 and 170.

[31] Seksyen 422 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan:

422. Irregularities not to vitiate proceedings

Subject to the provisions contained in this Chapter, no finding, sentence or order passed or made by a Court of competent jurisdiction shall be reversed or altered on account of:

(a) any error, omission or irregularity in the complaint, sanction, consent, summons, warrant, charge, judgment or other proceeding before or during trial or in any inquiry or other proceeding under this Code;

(b) the want of any sanction; or

(c) the improper admission or rejection of any evidence, unless such error, omission, irregularity, want or improper admission or rejection of evidence has occasioned a failure of justice.

[32] Untuk menyokong point salah laksana keadilan telah berlaku terhadap perayu, peguam perayu telah merujukkan kami kepada beberapa kes berikut. Dalam kes Yap Liow Swee v. PP [1937] 1 MLRH 468, perayu disabitkan dengan pertuduhan memandu melulu atau cuai. Dalam menjawab isu sama ada duplicity dalam pertuduhan adalah semata-mata ketidakaturan (mere irregularity) atau kepenyalahan undang-undang (illegality), Terrell Ag CJ menyatakan di ms 470:

"But in a case like the present, the prosecution does not set out to prove both recklessness and negligence but merely one or the other. Accordingly, the accused is embarrassed in his plea and if he is convicted he is left in doubt as to the offence of which he has been convicted. I have no doubt therefore that duplicity of this kind is an illegality,"

Di ms 472 kes yang sama, Cussen J menyatakan:

"It is impossible to make a simple plea of "guilty" to the charge in this case; and that shows clearly that the charge is bad - It is an illegal charge because it contains two distinct offences contrary to the provisions of s 163 of the Criminal Procedure Code. A charge must contain one offence and no more."

Seterusnya, di ms 472 kes itu, Cussen J menyatakan:

"Finally, I do not consider that this is an irregularity curable under s 422 of the CPC. This is not such an error, omission or irregularity. It is a contravention of an express provision of the Code ie s 163; It is a matter of substance and not of form; it creates uncertainty and embarrassment; it is a charge to which it is impossible to make a simple plea; it is an illegality."

[33] Dalam kes Yap Liow Swee, sabitan terhadap perayu diketepikan kerana pertuduhan menyalahi undang-undang (illegal).

[34] Dalam kes Wee Hui Hoo v. PP [1985] 2 MLRH 431, perayu disabitkan dengan pertuduhan memandu melulu atau secara merbahaya. Perayu merayu terhadap sabitan dan hukuman. Isu di hadapan mahkamah ialah sama ada duplicity dalam pertuduhan telah mengakibatkan kegagalan peradilan (failure of justice). Chong Siew Fai J memutuskan kegagalan peradilan telah berlaku kerana perayu disabitkan bukan untuk satu dari dua kesalahan alternatif, tetapi atas pertuduhan yang cacat. Oleh itu, sabitan diketepikan.

[35] Isu duplicity dalam pertuduhan berlaku dalam kes Ravindran a/l Ramasamy v. PP [2015] 3 MLRA 112. Dalam kes itu,perayu telah disabitkan dengan pertuduhan di bawah s 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (FIPA) yang dibaca bersama s 34 Kanun Keseksaan. Perayu merayu terhadap sabitan dan hukuman atas alasan duplicity dan salah laksana keadilan. Dalam mengenepikan sabitan terhadap perayu, Mahkamah Persekutuan memutuskan:

"Di bawah FIPA, seseorang pesalah tidak boleh menjadi kedua-dua pesalah utama dan rakan sejenayah pada masa yang sama. Pertuduhan menerangkan dua kesalahan, satu di bawah s 3 dan satu lagi di bawah s 3A. Ini bertentangan dengan s 163 Kanun Tatacara Jenayah dan cacat kerana kependuaan.

Pertuduhan tidak diketahui di bawah undang-undang (unknown in law). Pertuduhan yang cacat tidak boleh diperbetulkan di bawah s 422 Kanun yang sama kerana perayu telah dikelirukan dan berlaku kegagalan peradilan. Sabitan menjadi terbatal (nullity) dan diketepikan."

[36] Pada peringkat ini, perhatian kami dibawa kepada perenggan-perenggan 47-50 Alasan Penghakiman Hakim Pertama mengenai duplicity di mana Hakim Pertama menyatakan:

"[47] Mahkamah ini juga membuat pemerhatian berhubung pertuduhan yang dikemukakan terhadap responden. Pertuduhan tersebut menyebut "..sebagai pemandu motokar JQB 9984 telah memandu kenderaan tersebut atas jalan raya dengan cara melulu atau cara merbahaya setelah mengambilkira tentang segala hal keadaan jalan termasuk jenis, keadaan dan ukuran jalan tersebut).

[48] Kes Ng Beng Kok v. PP [2017] 4 MLRA 59 ada menyebut bahawa:

[36] In our view, there is no rhyme nor reason to say that "speed" and/or "reckless" cannot be considered as one of the circumstances or elements in determining the offence of "dangerous driving" under the third limb of s 41(1) of the RTA because "speeding" or "recklessness" constitutes manner of driving.

[49] Dalam rayuan ini, pihak perayu bergantung kepada limb ketiga, yakni memandu kenderaan tersebut atas jalan raya dengan cara melulu atau cara merbahaya setelah mengambilkira tentang segala hal keadaan jalan termasuk jenis, keadaan dan ukuran jalan tersebut.

[50] Walaupun ia mempunyai kesilapan atau peninggalan, perkara ini boleh diperbetulkan di bawah s 422 Kanun Tatacara Jenayah. Mahkamah merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan Cantona Lim Xiang Kim v. PP [2020] 1 MLRA 749."

[37] Kami mendapati Hakim Pertama telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan kecacatan pertuduhan boleh diperbetulkan di bawah s 422 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) sedangkan pertuduhan itu mengandungi dua kesalahan, bertentangan dengan peruntukan s 163 Kanun Tatacara Jenayah. Seksyen 163 menghendaki satu pertuduhan mengandungi satu kesalahan sahaja. Kes-kes yang dirujuk sebelum ini telah mengesahkan bila s 163 tidak dipatuhi, kecacatan tidak boleh diperbetulkan di bawah s 422 KTJ.

[38] Seterusnya, kami juga mendapati Hakim Pertama telah terkhilaf bila bergantung kepada kes Cantona Lim kerana dalam kes tersebut pertuduhan terhadap perayu mengandungi satu kesalahan sahaja iaitu memandu secara merbahaya di bawah limb ketiga s 41(1). Tidak ada isu duplicity dalam kes tersebut. Oleh itu, kes Cantona Lim tidak terpakai disini.

[39] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pula bergantung kepada kes Mohd Haikal Mohd Khatib v. PP [2009] 5 MLRA 17 untuk menyokong hujahan bahawa kecacatan pertuduhan boleh diperbetulkan di bawah s 422 KTJ.

[40] Kami mendapati kes Mohd Haikal tidak terpakai dalam kes di hadapan kami kerana dalam kes itu, perayu hanya dikenakan satu kesalahan dalam satu pertuduhan. Bukannya kes duplicity.

[41] Menerima pakai kes-kes yang dirujuk oleh peguam perayu, kami mendapati ada merit dalam isu duplicity. Duplicity dalam pertuduhan menjadikan pertuduhan itu menyalahi s 163 KTJ, tidak sah dan tidak boleh diperbetulkan di bawah s 422 Kanun yang sama. Salah laksana keadilan telah diakibatkan kepada perayu bila peruntukan undang-undang tidak dipatuhi. Sabitan terhadap perayu juga terbatal kerana dibuat atas pertuduhan yang cacat dan tidak sah. Perayu tidak tahu atas kesalahan yang mana satu beliau disabitkan. Sabitan tidak sah dan terbatal. Atas alasan duplicity ini sahaja, rayuan perayu harus dibenarkan.

Prima Facie

[42] Prinsip undang-undang yang terpakai untuk campurtangan Mahkamah Tinggi yang menjalankan kuasa rayuan terhadap perintah pembebasan (acquittal) dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Lim Kheak Teong v. Public Prosecutor [1984] 1 MLRA 126. Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan merujuk kepada keputusan Privy Council dalam kes Sheo Swamp v. King Emperor AIR 1934 PC 227:

"With respect to what Lord Russell of Killowen said in Sheo Swamp was that although no limitations would be placed on the power of the appellate Court, in exercising the power conferred, the High Court should and will always give proper weight and consideration to such matters as:

(1) the views of the trial Judge on the credibility of witnesses;

(2) the presumption of innocence in favour of the accused;

(3) the right of the accused to the benefit of any doubt; and

(4) the slowness of an appellate Court in disturbing a finding of fact arrived at by a Judge who had the advantage of seeing the witness."

[43] Dalam nada yang sama, Mahkamah Rayuan dalam kes Cantona Lim Xiang Kim v. Public Prosecutor [2020] 1 MLRA 749 menyatakan:

"Appellate Court would only intervene if it is convinced that there was no judicial appreciation by the trier of fact of the evidence adduced at the trial and that the trial Court was shown to be plainly wrong in arriving at its decision."

[44] Dalam kes ini, Hakim Mahkamah Tinggi (Hakim Pertama) telah mengakas (reversed) konklusi Majistret atas keterangan dan kredibiliti saksi dan menggantikan dapatan faktanya sendiri bahawa perayu memandu laju dan secara merbahaya.

[45] Di para [41] alasan penghakiman beliau, Hakim Pertama menyatakan:

"[41] "Berdasarkan keterangan saksi-saksi, mahkamah mendapati responden memandu dengan keadaan laju dan merbahaya terutama sekali pada waktu 3.00 pagi."

[46] Komplen perayu ialah Hakim Pertama telah terkhilaf bila mengatakan perayu memandu laju dan secara merbahaya kerana Hakim Pertama hanya membuat rujukan samar kepada keterangan saksi-saksi tanpa memberikan perincian keterangan saksi yang mana satu; dan Hakim Pertama tidak memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada Alasan Penghakiman Majistret.

[47] Kami bersetuju dengan perayu. Pertuduhan terhadap perayu bukanlah memandu laju. Kelajuan semata-mata bukan bermakna memandu dengan merbahaya. Tidak sempat brek bila nampak keadaan bahaya juga tidak bermakna memandu secara merbahaya. Kesemua fakta kes mesti diteliti. Bagi pertuduhan memandu melulu atau secara merbahaya, persoalan utama yang harus diputuskan oleh Mahkamah ialah sama ada risiko atau situasi bahaya diwujudkan oleh pemandu kereta.

[48] Dalam kes ini, kami mendapati Majistret bukan sahaja memahami, menghalusi dan mempertimbangkan semua keterangan saksi serta keterangan senyap, malah beliau juga menggunapakai prinsip undang-undang yang betul mengenai beban pembuktian atas pendakwaan semasa membuat penilaian maksima keterangan di akhir kes pendakwaan.

[49] Secara khususnya, Majistret dengan betulnya memutuskan:

(i) Bila ada dua inferens mengenai kelajuan kereta perayu, inferen yang memihak kepada perayu iaitu perayu memandu di bawah had laju 50 km sejam yang harus dipilih.

(ii) Situasi merbahaya bukan diwujudkan oleh perayu berasaskan keterangan pegawai penyiasat (SP46) bahawa perayu memandu di laluan beliau yang sah; perayu tidak memasuki jalan bertentangan, tidak memotong kenderaan, tidak memandu melawan arus trafik dan tidak terbabas. Cara pemanduan perayu tidak wujudkan keadaan merbahaya kepada pengguna jalan raya yang boleh menyebabkan risiko kematian kepada orang lain yang menggunakan jalan tersebut.

(iii) Laluan perayu mendaki bukit, berselekoh dan gelap. Perayu tidak boleh nampak kumpulan basikal lajak disebalik bukit. Perayu tidak mungkin dapat menjangkakan kehadiran kumpulan basikal lajak yang berada disebalik bukit pada jam 3.00 pagi.

(iv) Kumpulan basikal lajak (30-40 basikal) merentangi dan menghalang laluan perayu.

(v) Pegawai penyiasat kes (SP46) mengakui bahawa situasi merbahaya dicipta oleh kumpulan basikal lajak yang berkumpul di atas jalan tar. Penunggang basikal mesti dianggap tahu dan mengambil risiko mengundang padah sendiri kerana jalan raya itu bukan tempat untuk berkumpul ramai-ramai untuk lumba basikal.

(vi) Kewujudan kumpulan basikal yang menutupi hampir keseluruhan laluan perayu menjadikan kemalangan ini mustahil dapat dielakkan kecuali kereta terbang melepasi halangan.

[50] Kesimpulan yang boleh dibuat ialah Hakim Pertama telah terkhilaf bila hanya memberi tumpuan kepada pemanduan perayu semata-mata tanpa mengambilkira kesemua fakta kes. Jika Hakim Pertama mengambilkira pengakuan SP46 bahawa situasi bahaya diwujudkan oleh kumpulan basikal lajak; bahawa basikal lajak telah menghalang laluan perayu dan kemalangan itu mustahil dapat dielakkan, sewajarnya, Hakim Pertama mendapati tidak ada kes prima facie dan tidak memerintahkan perayu membela diri. Seperti siang mengikuti malam, kami mendapati Hakim Pertama telah terkhilaf bila mengakaskan keputusan Majistret di akhir kes pendakwaan. Atas alasan ini juga, rayuan perayu harus dibenarkan.

Keputusan Kami

[51] Kami bersimpati dengan keluarga 8 penunggang basikal yang meninggal dunia. Walaupun kes kemalangan maut ini mendapat liputan media yang luas, setiap kes harus diputuskan mengikut lunas undang-undang. Untuk kes ini, sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat kerana dibuat atas pertuduhan yang cacat, menyalahi undang- undang dan tidak sah. Selebihnya, kemalangan maut ini bukan berpunca daripada perayu. Oleh itu, kami sebulat suara mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 13 April 2022. Perayu dibebas dan dilepaskan.

Login to eLaw