Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur
Muhammad Jamil Hussin H
[Perbicaraan Jenayah No: WA-45-6-10-2018]
28 Oktober 2022
Undang-Undang Jenayah: Pengubahan wang haram - Kesalahan di bawah s 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 - Sama ada wang yang diterima tertuduh adalah hasil daripada aktiviti haram - Sama ada perlakuan suatu kesalahan predikat dibuktikan
Undang-Undang Jenayah: Pengubahan wang haram - Kesalahan di bawah s 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 - Sama ada tertuduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi - Sama ada wang yang diterima tertuduh adalah hasil daripada aktiviti haram
Tertuduh dalam kes ini menghadapi dua pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 ('AMLATFA') dan dua pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 ('AMLATFPUAA'). Tertuduh telah menerima wang berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta masing-masing melalui cek milik Mohd Najib bin Hj Abd Razak. Isu-isu untuk ditentukan adalah, sama ada RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima tertuduh adalah hasil daripada aktiviti haram; sama ada perlakuan suatu kesalahan predikat yang daripada mana RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu diperoleh dibuktikan; dan sama ada tertuduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi.
Diputuskan (tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua empat pertuduhan tersebut tanpa dipanggil untuk membela diri):
(1) Tahap pembuktian untuk membuktikan setiap satu elemen kesalahan pengubahan wang haram termasuklah elemen wang yang diterima itu adalah hasil daripada aktiviti haram, adalah melampaui keraguan munasabah. (perenggan 26)
(2) Daripada keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tiada langsung keterangan yang menunjukan apakah perlakuan kesalahan predikat yang daripada mana RM 4.3 juta dan RM5.2 juta itu diperoleh. Sebaliknya keterangan saksi pendakwaan mengesahkan bahawa tidak ada apa-apa aktiviti haram ketika tertuduh menerima RM4.3 juta dan RM 5.2 juta dan penerimaan wang itu bukannya penerimaan hasil daripada aktiviti haram. Maka, elemen utama kesalahan bahawa RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima itu adalah hasil daripada aktiviti haram gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan. (perenggan-perenggan 49 & 53)
(3) Perlakuan kesalahan predikat seperti dihujahkan oleh Pendakwa Raya dalam kes ini adalah selepas tarikh penerimaan RM 4.3 juta dan RM 5.2 juta. Perlakuan kesalahan predikat tersebut bukan kesalahan predikat terdahulu yang daripada mana RM 4.3 juta dan RM 5.2 juta itu diperoleh dan tidak boleh diterima kerana kesalahan pengubahan wang haram adalah kesalahan berkaitan dengan hasil daripada aktiviti haram yang daripada mana hasil itu diperoleh iaitu suatu kesalahan post-predicate. (perenggan 56)
(4) Tindakan tertuduh yang membuat suatu penyata yang tidak betul dalam Penyata Pendapatan Tahun Taksiran 2013 dengan meninggalkan pendapatan RM4.3 juta yang telah diterima dan dalam Penyata Pendapatan Tahun Taksiran 2014 dengan meninggalkan pendapatan RM5.2 juta yang telah diterima jikapun boleh diterima sebagai cara bagaimana tertuduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, ia masih tidak memenuhi kehendak transaksi sepertimana ditakrifkan. Pertamanya tindakan tertuduh hanyalah merupakan tindakan berseorangan tertuduh. Tindakan tertuduh tidak melibatkan satu pihak lain sedangkan ia mestilah melibatkan antara dua pihak. Keduanya tindakan tertuduh bukan mengenai pembukaan akaun dan apa-apa transaksi ke atasnya tetapi adalah suatu tindakan terhadap perkara lain. Justeru itu, tindakan tertuduh tidak termasuk dalam takrif transaksi seperti yang diberikan dalam s 3 AMLATFPUAA, dan pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi. (perenggan 70)
(5) Daripada semua keterangan yang dikemukan, adalah tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri atas empat pertuduhan tersebut. (perenggan 82)
Kes-kes yang dirujuk:
Azmi Osman v. PP [2014] 5 MLRH 187 (dirujuk)
Azmi Osman v. PP & Another Appeal [2015] MLRAU 459 (dirujuk)
Balachandran v. PP [2004] 2 MLRA 547 (diikuti)
Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak v. PP [2022] 1 MLRA 354 (dirujuk)
Lim Guan Eng v. PP & Other Appeals [1998] 1 MLRA 457 (dirujuk)
Looi Kow Chai & Anor v. PP [2002] 2 MLRA 383 (diikuti)
Mohd Ismail Syed Merah v. PP & Other Appeals [2022] 5 MLRA 405 (dirujuk)
Noor Ismahanum Mohd Ismail v. PP [2018] 1 SSLR 285 (dirujuk)
PP v. Kuala Dimensi Sdn Bhd & Ors [2019] 6 MLRA 637 (dirujuk)
PP v. Kuala Dimensi Sdn Bhd & Ors [2021] 1 MLRA 400 (dirujuk)
PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2005] 2 MLRA 590 (diikuti)
Perundangan yang dirujuk:
Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Financing Act 2001, ss 3, 4(1)(a), 70(2), Schedule 2
Anti-Money Laundering Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, ss 3(1), 4(1)(a), (b), (c), (d), 56, 70(2)
Criminal Procedure Code, s 180(1), (2), (3), (4)
Income Tax Act 1967, ss 77(1), 112, 113(1)(a), (2), Schedule 2
Kaunsel:
Bagi pihak pendakwa raya: Afzainizam Abdul Aziz (Natasha Chin Le Jy bersama beliau); TPR
Bagi pihak tertuduh: Harvinderjit Singh (Farhan Read, Badrul Munir Bukhari, Sarah Abishegam, Muhammad Farhan Shafee & Wee Yeong Kang bersama beliau); Tetuan Shafee & Co
PENGHAKIMAN
Muhammad Jamil Hussin H:
Pendahuluan
[1] Tertuduh Muhammad Shafee Md Abdullah menghadapi empat pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram.
[2] Pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua adalah kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) iaitu telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta masing-masing melalui cek milik Mohd Najib bin Hj Abd Razak.
[3] Pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat adalah kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA) iaitu telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dengan membuat suatu penyata yang tidak betul bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2014 dengan meninggalkan pendapatan yang telah diterima berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta masing-masing melalui cek milik Mohd Najib bin Hj Abd Razak.
Pertuduhan Di Bawah AMLATFA
[4] Secara terperinci pertuduhan di bawah AMLATFA adalah seperti berikut:
Pertuduhan pertama
Bahawa kamu, pada 13 September 2013, di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu, dengan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM4,300,000.00 melalui sekeping cek Am lslamic Bank Berhad nombor cek 000060 milik Mohd Najib bin Hj Abd Razak, yang telah dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 14560000408050 milik kamu, oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.
Pertuduhan kedua
Bahawa kamu, pada 17 Februari 2014, di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu, dengan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,200,000.00 melalui sekeping cek Amlslamic Bank Berhad nombor cek 000030 milik Mohd Najib bin Hj Abd Razak, yang telah dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 8001356847 milik kamu, oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.
Pertuduhan Di Bawah AMLATFPUA
[5] Secara terperinci pertuduhan di bawah AMLATFPUA adalah seperti berikut:
Pertuduhan ketiga
Bahawa kamu, pada 3 Mac 2015, di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu, dengan membuat suatu penyata yang tidak betul bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53] bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013, iaitu, dengan meninggalkan pendapatan yang kamu telah terima pada 13 September 2013 berjumlah RM4,300,000.00 melalui sekeping cek Amlslamic Bank Berhad nombor cek 000060 milik Mohd Najib bin Hj Abd Razak, yang telah dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 14560000408050 milik kamu, yang kamu dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53] untuk membuat penyata bagi pihak diri kamu sendiri, dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.
Pertuduhan keempat
Bahawa kamu, pada 29 Jun 2015, di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di dalam Wilayah Peersekutuan Kuala Lumpur, telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu, dengan membuat suatu penyata yang tidak betul bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53] bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2014, iaitu, dengan meninggalkan pendapatan yang kamu telah terima pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5,200,000.00 melalui sekeping cek Amlslamic Bank Berhad nombor cek 000030 milik Mohd Najib bin Hj Abd Razak, yang telah dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 8001356847 milik kamu, yang kamu dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53] untuk membuat penyata bagi pihak diri kamu sendiri, dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.
[6] Untuk mengelakan apa-apa kekeliruan dan atau salah faham saya perlu menegaskan di sini bahawa walaupun pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat menyatakan dengan membuat suatu penyata yang tidak betul bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) ACP bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2014 dengan meninggalkan pendapatan yang telah diterima berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta masing-masing melalui cek milik Mohd Najib bin Hj Abd Razak seperti dihujahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), itu adalah cara tertuduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan kesalahan masih lagi bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) AMLATFPUA dan bukan bagi kesalahan membuat suatu penyata yang tidak betul di bawah s 113(1)(a) ACP.
[7] Tertuduh minta dibicarakan selepas empat pertuduhan tersebut dibacakan dan diterangkan kepadanya.
Fakta Kes Pendakwaan
[8] Fakta kes pendakwaan yang dinyatakan oleh TPR dalam hujahan bertulis bolehlah diringkaskan seperti berikut:
8.1 tertuduh adalah seorang peguam bela dan peguam cara yang beramal di firma guaman Tetuan Shafee & Co.
8.2 tertuduh telah menerima dua bayaran berjumlah RM9.5 juta yang merupakan yuran guaman bagi khidmat guaman yang dia telah berikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk 46 kes petisyen pilihan raya tahun 2004 dan 2006.
8.3 tertuduh terima bayaran pertama berjumlah RM4.3 juta melalui cek AmIslamic Bank Berhad nombor 000060 bertarikh 5 September 2013 (P6) milik Dato' Sri Mohd Najib bin Hj Abd Razak (DSN) dalam pertemuan mereka di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 5 September 2013. Kemudiannya pada 13 September 2013, P6 dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 14560000408050 (nombor akaun lama) milik tertuduh di CIMB Bank Berhad Bukit Tunku Kuala Lumpur.
8.4 dalam pertemuan tersebut tertuduh memaklumkan dia tidak pernah terima bayaran bagi khidmat guaman yang telah dia berikan sejak 1990 an. Selepas perundingan DSN setuju membayar RM9.5 juta sebagai penyelesaian penuh bagi khidmat guaman yang tertuduh telah berikan kepada UMNO dan BN berkaitan 46 kes petisyen pilihan raya tahun 2004 dan 2006.
8.5 tertuduh mengemukakan surat bertarikh 12 September 2013 (P35) kepada DSN yang mana dia setuju RM9.5 juta (selepas diskaun daripada RM11.5 juta) adalah penyelesaian penuh yuran guaman bagi khidmat guaman yang dia telah berikan kepada UMNO dan BN berkaitan 46 kes petisyen pilihan raya tahun 2004 dan 2006. Tertuduh dan DSN setuju yuran guaman akan dirasionalisasi melalui dokumen kemudian. Mereka setuju RM9.5 juta itu sebagai pendahuluan atau pinjaman sehingga ia dikristalis sebagai yuran guaman.
8.6 tertuduh terima bayaran kedua berjumlah RM5.2 juta melalui cek AmIslamic Bank Berhad nombor 000030 bertarikh 14 Februari 2014 (P8) milik DSN dalam pertemuan mereka di Putrajaya pada 14 Februari 2014. Kemudiannya pada 17 Februari 2014, P8 dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 8001356847 (nombor akaun baru) milik tertuduh di CIMB Bank Berhad Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
8.7 tertuduh menggunakan wang RM4.3 juta sebagai bayaran deposit untuk membeli sebuah rumah di Bukit Tunku berharga RM9.3 juta. Tertuduh menggunakan wang RM5.2 juta untuk menyelesaikan baki pembelian rumah tersebut.
8.8 tertuduh tanpa alasan munasabah tidak melaporkan RM9.5 juta yang diterima sebagai pendapatan terakru kepada firma guaman Tetuan Shafee & Co dalam Borang B Tahun Taksiran 2013 (P48) seperti dikehendaki di bawah s 77(1) ACP pada atau sebelum 30 Jun 2014. Tertuduh mengemukakan P48 selepas lebih kurang 9 bulan daripada tarikh 30 Jun 2014.
8.9 pada 3 Mac 2015 di Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Duta Kuala Lumpur (LFIDN) tertuduh membuat penyata yang tidak betul bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) ACP bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dalam P48, dengan meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 September 2013 berjumlah RM4.3 juta. Tertuduh hanya melaporkan pendapatan perniagaan Tetuan Shafee & Co yang terakru dan yang telah diterima dalam Tahun Taksiran 2013 berjumlah RM3,173,007.00 dalam P48 dan telah membayar cukai berjumlah RM264,720.10. RM4.3 juta tidak dilaporkan sebagai Pendapatan Tahun Kebelakangan Yang Belum Dilaporkan dalam Bahagian E P48.
8.10 pada 29 Jun 2015 di LHDN tertuduh membuat penyata yang tidak betul bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) ACP bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2014 dalam Borang B Tahun Taksiran 2014 (P49) dengan meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta. Tertuduh hanya melaporkan pendapatan perniagaan Tetuan Shafee & Co yang terakru dan yang telah diterima dalam Tahun Taksiran 2014 berjumlah RM3,391,108.00 dalam P 49 dan telah membayar cukai berjumlah RM319,959.96. RM5.2 juta tidak dilaporkan sebagai Pendapatan Tahun Kebelakangan Yang Belum Dilaporkan dalam Bahagian E P49.
8.11 pada 13 September 2018 tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan pengubahan wang haram.
8.12 pada 2 Oktober 2018 Pegawai Penyiasat LHDN Syed Nasrul Fahmi bin Syed Mohamad (SP7) telah menjalankan siasatan dan audit ke atas tertuduh berhubung penerimaan dua keping cek berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta daripada DSN. Siasatan LHDN adalah berasingan daripada siasatan yang dijalankan oleh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
8.13 tertuduh telah melantik ejen percukaian Tetuan Krishna & Associates untuk berurusan dengan LHDN bagi pihaknya. Tertuduh memberi penjelasan kepada LHDN bahawa RM9.5 juta yuran guaman yang diterimanya daripada DSN bukan pendapatan perniagaan yang terakru dalam tahun 2013. RM9.5 juta adalah pendahuluan atau pinjaman terakru pada 2013 hingga 2017 sehingga jumlah tersebut dirasionalisasi sebagai yuran guaman pada tahun 2018, firma guaman sedang dalam proses memuktamadkan penyata kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi tujuan mengemukakan Borang B Tahun Taksiran 2018 kepada LHDN. Pinjaman RM9.5 juta akan diiktiraf sebagai pendapatan perniagaan Tetuan Shafee & Co pada tahun 2018 setelah kerja-kerja guaman untuk 46 fail petisyen pilihan raya tahun 2004 dan tahun 2006 dan fee RM9.5 juta selesai dan dimuktamadkan dalam tahun 2018.
8.14 P35 dan dokumen sokongan dikemukakan untuk pertimbangan LHDN.
8.15 berdasarkan P35 LHDN dapati RM9.5 juta merupakan yuran guaman atas perkhidmatan yang telah diberikan oleh tertuduh kepada UMNO dan BN berhubung 46 fail petisyen pilihan raya tahun 2004 dan 2006 dan bukan pendahuluan atau pinjaman daripada DSN.
8.16 LHDN dapati tertuduh telah membuat penyata tidak betul apabila gagal melaporkan RM9.5 juta dalam tahun taksiran 2013 berdasarkan P48. RM9.5 juta merupakan peninggalan khusus pendapatan perniagaan bagi tahun taksiran 2013 yang tidak dilaporkan dalam P48.
8.17 LHDN dapati tertuduh telah cuai apabila gagal melaporkan pendapatan perniagaan terakru berjumlah RM9.5 juta yang merupakan pendapatan sebenar yang sepatutnya dilaporkan pada tahun taksiran 2013 dan telah cuai apabila tidak melaporkan pendapatan yang diterima RM4.3 juta dan RM5.2 juta sebagai Pendapatan Yang Tidak Dilaporkan di ruangan Pendapatan Tahun Kebelakangan Yang Belum Dilaporkan dalam P48 dan P49 masing-masing.
8.18 LHDN telah membangkitkan taksiran tambahan di luar tempoh 5 tahun pada 30 Mei 2019 berdasarkan peninggalan khusus berjumlah RM9.5 juta dalam tahun taksiran 2013 tersebut dan tertuduh diarah membayar cukai tambahan berjumlah RM2,470,000.00 (yang sepatutnya diterima oleh LHDN pada 29 Jun 2014 setelah taksiran dibuat ke atas Borang B Tahun Taksiran 2013), penalti 45% di bawah s 113(2)ACP berjumlah RM1,111,500.00 disebabkan tiada pendakwaan di bawah s 113(1) (a) ACP apabila LHDN dapati tertuduh membuat penyata tidak betul dengan gagal melaporkan pendapatan RM9.5 juta dalam Borang B Tahun Taksiran 2013.
8.19 pada 31 Mei 2019 tertuduh menerima Notis Taksiran Tambahan Tahun 2013 bertarikh 30 Mei 2019 (P 50) dan surat bertarikh 30 Mei 2019 yang melampirkan Penyata Modal bagi Tahun Taksiran 2010-2017 dan Pengiraan Cukai Bagi Tahun Taksiran 2011-2017 (P51). Keseluruhan cukai kena dibayar berjumlah RM3,581,500.00. Tertuduh memfailkan rayuan terhadap taksiran tambahan dengan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.
8.20 tertuduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berkaitan RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram; kesalahan di bawah ss 112 dan 113 ACP, kesalahan di bawah Jadual 2 AMLATFA dan AMLATFPUA.
Tanggungjawab Mahkamah Pada Penutupan Kes Pendakwaan
[9] Tanggungjawab mahkamah pada penutupan kes pendakwaan adalah untuk menimbang sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan suatu kes prima facie terhadap tertuduh. Ini seperti diperuntukan oleh s 180(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ). Jika mahkamah dapati pihak pendakwaan gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap tertuduh, mahkamah hendaklah membebaskan tertuduh (s 180(2) KTJ). Jika mahkamah dapati suatu kes prima facie telah dibuktikan terhadap tertuduh bagi kesalahan yang dipertuduhkan mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk membela diri (s 180(3) KTJ).
[10] Peruntukan s 180(1) KTJ telah dihuraikan oleh mahkamah atasan negara ini dalam beberapa kes antaranya Looi Kow Chai & Anor v. PP [2002] 2 MLRA 383, Balachandran v. PP [2004] 2 MLRA 547 dan PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2005] 2 MLRA 590.
[11] Berdasarkan peruntukan s 180(1) KTJ dan memakai prinsip undang-undang mengenai ujian kes prima facie yang dinyatakan dalam kes Looi Kow Chai & Anor v. PP (supra); Balachandran v. PP (supra); dan PP v. Mohd Radzi bin Abu Bakar (supra), mahkamah hendaklah membuat suatu penilaian yang maksimum terhadap kebolehpercayaan dan kebergantungan (reliability) ke atas semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dalam menimbang sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan suatu kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan yang dipertuduhkan.
[12] Seksyen 180(4) KTJ memperuntukkan "bagi maksud seksyen ini, suatu kes prima facie adalah dibuat terhadap tertuduh di mana pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan boleh dipercayai yang membuktikan setiap satu elemen kesalahan (ingredient of the offence) yang mana jika tidak dipatahkan atau diterangkan akan mewajarkan suatu sabitan".
Kesalahan Pengubahan Wang Haram
[13] Pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua adalah bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) AMLATFA.
[14] Seksyen 4 AMLATFA memperuntukkan seperti berikut:
4.(1) Any person who-
(a) engages in, or attempts to engage in; or
(b) abets the commission of,
money laundering, commits an offence and shall on conviction be liable to a fine not exceeding five million ringgit or to imprisonment for a term not exceeding five years or both.
(2) A person may be convicted of an offence under sub-section (1) irrespective of whether there is a conviction in respect of a serious offence or foreign serious offence or that a prosecution has been initiated for the commission of a serious offence or foreign serious offence.
[15] Takrif pengubahan wang haram (money laundering) dalam s 3 AMLATFA adalah seperti berikut:
'money laundering means the act of a person who:
(a) engages, directly or indirectly, in a transaction that involves proceeds of an unlawful activity;
(b) acquires, receives, possesses, disguises, transfers, converts, exchanges, carries, disposes, uses, removes from or brings into Malaysia proceeds of any unlawful activity; or
(c) conceals, disguises or impedes the establishment of the true nature, origin, location, movement, disposition, title of, rights with respect to, or ownership of, proceeds of any unlawful activity,
where-
(aa) as may be inferred from objective factual circumstance, the person knows or has reason to believe, that the property is proceeds from any unlawful activity; or
(bb) in respect of the conduct of a natural person, the person without reasonable excuse fails to take reasonable steps to ascertain whether or not the property is proceeds from any unlawful activity.
[16] Kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) AMLATFA telah di huraikan oleh Mahkamah Rayuan dalam beberapa kes antaranya Azmi Osman v. PP & Another Appeal [2015] MLRAU 459 dan kes PP v. Kuala Dimensi Sdn Bhd & Ors [2019] 6 MLRA 637.
[17] Dalam Azmi Osman v. Public Prosecutor & Another Appeal (supra) Mahkamah Rayuan menyatakan seperti berikut:
[33] It is clear to our mind that the offence as defined under s 3 of the AMLATFA is aimed at any person who knowingly engages in proceeds of an unlawful activity. The offence is concerned with the proceeds of an unlawful activity. In other words, it is a post-predicate offence activity of knowingly dealing with the unholy fruits of an unlawful activity.
[18] Dalam PP v. Kuala Dimensi Sdn Bhd & Ors (supra) Mahkamah Rayuan menyatakan seperti berikut:
[33] From the above definitions it will show that money laundering is principally concerned with the proceeds from an unlawful activity that is any activity which is related directly or indirectly, to any serious offence or any foreign serious offence.
[19] Pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat adalah bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) AMLATFPUA.
[20] Takrif kesalahan pengubahan wang haram (money laundering offence) dalam s 4 AMLATFPUA adalah seperti berikut:
4. (1) Any person who-
(a) engages, directly or indirectly, in a transaction that involves proceeds of an unlawful activity or instrumentalities of an offence;
(b) acquires, receives, possesses, disguises, transfers, converts, exchanges, carries, disposes of or uses proceeds of an unlawful activity or instrumentalities of an offence;
(c) removes from or brings into Malaysia, proceeds of an unlawful activity or instrumentalities of an offence; or
(d) conceals, disguises, or impedes the establishment of the true nature, origin, location, movement, disposition, title of, rights with respect to, or ownership of, proceeds of an unlawful activity or instrumentalities of an offence,
commits a money laundering offence and shall on conviction be liable to imprisonment for a term not exceeding fifteen years and shall also be liable to a fine of not less than five times the sum or value of the proceeds of an unlawful activity or instrumentalities of an offence at the time the offence was committed or five million ringgit, whichever is the higher.
(2) For the purposes of subsection (1), it may be inferred from any objective factual circumstances that-
(a) the person knows, has reason to believe or has reasonable suspicion that the property is the proceeds of an unlawful activity or instrumentalities of an offence; or
(b) the person without reasonable excuse fails to take reasonable steps to ascertain whether or not the property is the proceeds of an unlawful activity or instrumentalities of an offence.
(3) For the purposes of any proceedings under this Act, where the proceeds of an unlawful activity are derived from one or more unlawful activities, such proceeds need not be proven to be from any specific unlawful activity.
(4) A person may be convicted of an offence under subsection (1) irrespective of whether there is a conviction in respect of a serious offence or foreign serious offence or that a prosecution has been initiated for the commission of a serious offence or foreign serious offence.
[21] Kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1) AMLATFPUA telah dihuraikan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak v. PP [2022] 1 MLRA 354 seperti berikut:
[256] It must be noted that the common thread in s 4(1)(a), (b), (c) and (d) AMLA is the prerequisite that there must be proceeds of an unlawful activity in respect of any one of the conducts mentioned therein for it to amount to an offence of money laundering. The three money laundering charges in this case allege that the appellant had received proceeds of an unlawful activity in contravention of s 4(1)(b) AMLA.
---
[265] Similarly, in the present case, the offence under s 23 MACC Act and the three offence under s 409 PC, have been proved and as such, we are of the opinion that the predicate offences have been established for all three charges under s 4(1) AMLA. Thus, the element of unlawful proceeds has been proved for all three charges. There is an elaborate and lengthy discussion by the learned trial judge as to whether there is necessity for the appellant to be convicted for a predicate offence before the second element is satisfied. We are guided by the decision of this court in Aisyah Mohd Rose & Anor v. PP (supra) where it was quite categorically stated that pursuant to s 4(2) of AMLATFA, the conviction for an offence under s 4(1) can be sustained even without the conviction for a predicate offence". However, what is necessary to be proved by the prosecution to establish a prima facie case is that an unlawful activity as defined in s 3 of AMLA had been committed from which the accused had obtained proceeds. Here, at the close of the prosecution case, the learned trial judge had ruled that a prima facie case had been established for the charge under s 23 MACC Act and the three s 409 PC charges. Hence, at that stage of the prosecution case, the unlawful activity or predicate offence, and the proceeds therefrom, which are necessary for the s 4(1) AMLA offence had been made out.
...
[269] Hence, we agree with the findings of the learned trial judge that there is no duplicity in the charges by the mere fact of the RM42 million, or its constituent sums of RM27 million, RM5 million and RM10 million, being stipulated in the seven charges against the appellant. After all the offence of money laundering is a post-predicate offence.
[22] Ringkasnya kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) AMLATFA adalah berkenaan mana-mana orang yang dengan pengetahuan melibatkan diri dalam hasil daripada aktiviti haram. Kesalahan adalah berkaitan dengan hasil daripada aktiviti haram. Dalam perkataan lain ia merupakan suatu kesalahan post-predicate, adalah tidak perlu untuk orang itu mesti disabitkan dahulu dengan kesalahan berat (predikat) yang daripada mana hasil itu diperoleh. Ini sama dengan kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1) AMLATFPUA melainkan terdapat "atau peralatan kesalahan" yang tidak relevan dengan pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat.
Tahap Pembuktian Kesalahan Pengubahan Wang Haram (Standard Of Proof)
[23] Seksyen 70 AMLATFA dan s 70 AMLATFPUA adalah peruntukan berkenaan tahap pembuktian (standard of proof). Kedua-dua peruntukan ini adalah serupa. Diperturunkan di sini peruntukan s 70 AMLATFPUA:
70.(1) Any question of fact to be decided by a court in proceedings under this Act shall be decided on the balance of probabilities.
(2) Subsection (1) shall not apply in relation to any question of fact that is for the prosecution to prove in any proceedings for an offence under this Act or any subsidiary legislation under it.
[24] Untuk membuktikan kesalahan di bawah AMLATFA dan AMLATFPUA, termasuklah kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1) tahap pembuktian masih lagi melampaui keraguan munasabah. Ini selaras dengan s 70(2).
[25] Mahkamah Rayuan dalam kes terkini Mohd Ismail Syed Merah v. PP & Other Appeals [2022] 5 MLRA 405 menyatakan seperti berikut:
[28] Section 56(4)(c) above-mentioned provides that the standard of proof to established the proceeds of unlawful activity is only on the balance of probability but to prove an offence under AMLATFA, including money laundering offence under s 4(1) and in light of s 70(2), the standard of proof is still beyond a reasonable doubt.
[26] Untuk membuktikan kesalahan pengubahan wang haram, maka setiap satu elemen kesalahan pengubahan wang haram mestilah dibuktikan. Tahap pembuktian untuk membuktikan kesalahan pengubahan wang haram adalah melampaui keraguan munasabah oleh itu pada pandangan saya untuk membuktikan setiap satu elemen kesalahan pengubahan wang haram termasuklah elemen wang yang diterima itu adalah hasil daripada aktiviti haram tahap pembuktian yang sama adalah terpakai yakni melampaui keraguan munasabah. Saya tidak setuju dengan hujahan TPR bahawa mahkamah harus memutuskan persoalan fakta sama ada dua keping cek RM4.3 juta dan RM5.2 juta (elemen wang yang diterima) hasil daripada aktiviti haram menurut tahap pembuktian atas imbangan kebarangkalian. Hujahan ini bertentangan dengan peruntukan s 70(2) dan keputusan terkini Mahkamah Rayuan dalam kes Mohd Ismail Syed Merah v. PP (supra). Pada pandangan saya tahap pembuktian atas imbangan kebarangkalian hanya terpakai kepada prosiding pelucuthakan harta di bawah s 56. Untuk menyokong pandangan saya, penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam PP v. Kuala Dimensi Sdn Bhd & Ors [2021] 1 MLRA 400 dan penghakiman Mahkamah Rayuan dalam Noor Ismahanum Mohd Ismail v. PP [2018] 1 SSLR 285 adalah dirujuk.
[27] Saya menggunapakai tahap pembuktian melampaui keraguan munasabah untuk membuktikan kesalahan pengubahan wang haram. Ini termasuk dalam memutuskan sama ada wang RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima tertuduh adalah hasil daripada aktiviti haram.
Elemen Kesalahan Pengubahan Wang Haram
[28] Dalam kes PP v. Kuala Dimensi Sdn Bhd & Ors (supra), Mahkamah Rayuan menyatakan elemen kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1) AMLATFA adalah seperti berikut:
[35] Thus from the definition from s 3 of the AMLATFA, the essence of money laundering is as follows:
(a) First, there must be an 'unlawful activity' which is any activity that is related to the pre-defined list of offences provided under the Second Schedule of the AMLATFA. These pre-defined offences are typically known as the predicate offence;
(b) Secondly, there must be identifiable proceeds from the unlawful activity/predicate offence. These proceeds must be identifiable and specifically and directly connected to the unlawful activity/predicate offence;
(c) Thirdly, there must be an act associated with money laundering involving the said identifiable proceeds from the unlawful activities/ predicate offence. This act is pre-defined under items (a), (b) and (c) of the definition of 'money laundering' and
(d) Lastly, the requisite mens rea associated (which may be inferred from the objective factual circumstance or conduct of a natural person) with the offence of money laundering must be present as set-out under items (aa) and (bb) of the definition of 'money laundering'.
[29] Elemen di atas adalah juga relevan bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1) AMLATFPUA.
[30] Asas pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua di bawah s 4(1)(a) AMLATFA ialah tertuduh menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui cek. Elemen kesalahan yang mesti dibuktikan oleh pihak pendakwaan seperti dihujahkan oleh peguam tertuduh dan TPR dan seperti dinyatakan oleh Mahkamah Tinggi dalam Azmi Osman v. PP [2014] 5 MLRH 187 ialah:
a) tertuduh telah menerima RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek) daripada DSN;
b) RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima itu adalah hasil daripada aktiviti haram; dan
c) tertuduh tahu atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada apa-apa aktiviti haram atau tanpa alasan yang munasabah tidak mengambil langkah yang munasabah untuk menentukan sama ada atau tidak RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada apa-apa aktiviti haram.
[31] Asas pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat di bawah s 4(1)(a) AMLATFPUA ialah tertuduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram. TPR berhujah elemen kesalahan yang mesti dibuktikan oleh pihak pendakwaan ialah:
a) tertuduh membuat suatu penyata yang tidak betul dalam Penyata Pendapatan Borang B Tahun Taksiran 2013 dengan meninggalkan pendapatan RM4.3 juta yang telah diterima dan dalam Penyata Pendapatan Borang B Tahun Taksiran 2014 dengan meninggalkan pendapatan RM5.2 juta yang telah diterima;
b) RM4.3 juta dan RM5.2 juta (pendapatan yang diterima) adalah hasil daripada aktiviti haram; dan
c) tertuduh tahu, mempunyai sebab untuk mempercayai atau mempunyai syak yang munasabah bahawa RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada aktiviti haram atau tertuduh tanpa alasan yang munasabah tidak mengambil langkah yang munasabah untuk menentukan sama ada atau tidak RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada aktiviti haram.
Hujahan Pihak-Pihak
[32] Peguam tertuduh memfailkan hujahan bertulis, nota hujahan lisan dan berhujah secara lisan. TPR memfailkan hujahan bertulis, hujahan balasan bertulis dan berhujah secara lisan.
Analisis Dan Dapatan Mahkamah
[33] Saya telah membuat suatu penilaian yang maksimum terhadap kebolehpercayaan dan kebergantungan (reliability) ke atas semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Saya telah menimbang hujahan bertulis, nota hujahan lisan serta hujahan lisan peguam tertuduh dan hujahan bertulis, hujahan balasan bertulis serta hujahan lisan TPR dan kes otoriti yang dirujuk oleh kedua-dua pihak.
Pertuduhan Pertama Dan Pertuduhan Kedua
[34] Seperti saya nyatakan di atas pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua adalah bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) AMLATFA. Asas pertuduhan ialah tertuduh menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui cek.
[35] Seksyen 4(1)(a) AMLATFA memperuntukkan:
4.(1) Any person who-
(a) engages in,...;or
(b) ...
money laundering, commits an offence...
[36] Takrif pengubahan wang haram adalah seperti dalam s 3.
[37] Elemen kesalahan ialah:
a) tertuduh telah menerima RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek) daripada DSN;
b) RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima itu adalah hasil daripada aktiviti haram; dan
c) tertuduh tahu atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada apa-apa aktiviti haram atau tanpa alasan yang munasabah tidak mengambil langkah yang munasabah untuk menentukan sama ada atau tidak RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada apa-apa aktiviti haram.
A) Elemen Pertama Kesalahan: Tertuduh Telah Menerima RM4.3 Juta Dan RM5.2 Juta (Melalui Cek) Daripada DSN
[38] Peguam tertuduh berhujah tertuduh tidak mempertikaikan fakta bahawa RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek P6 dan P8 milik DSN) telah dikreditkan ke dalam akaun bank CIMB miliknya. Dalam perkataan lain tertuduh tidak mempertikaikan fakta bahawa dia telah menerima RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek) daripada DSN.
[39] Dalam apa jua keadaan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan menerusi Uma Devi a/p Raghavan (SP1) dan Rosnita binti Ahmad (SP2) serta eks P2 (Borang Pembukaan Akaun Semasa DSN), P 5 (Penyata Akaun Semasa atas nama DSN), P 6 (cek Amlslamic Bank nombor 000060 bertarikh 5 September 2013 berjumlah RM4.3 juta), P7 (Penyata Akaun Semasa atas nama DSN), P8 (cek Amlslamic Bank nombor 000030 bertarikh 14 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta), P15 (Penyata Akaun CIMB Bank atas nama tertuduh) dan P18 (Penyata Akaun CIMB Bank atas nama tertuduh) menunjukan tertuduh telah menerima cek berjumlah RM4.3 juta (P 6) dan cek berjumlah RM5.2 juta (P8) daripada DSN. Tertuduh telah mendepositkan dua cek tersebut dalam akaun bank CIMB miliknya masing-masing pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014. Daripada dua cek tersebut wang berjumlah RM4.3 juta dan wang berjumlah RM5.2 juta telah dikreditkan ke dalam akaun bank tertuduh.
[40] Pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa tertuduh telah menerima RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek) daripada DSN.
B) Elemen Kedua Kesalahan: RM4.3 Juta Dan RM5.2 Juta Yang Diterima Itu Adalah Hasil Daripada Aktiviti Haram
[41] Peguam tertuduh berhujah pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima oleh tertuduh adalah hasil daripada aktiviti haram. Tidak terdapat apa-apa keterangan yang menunjukkan bahawa suatu kesalahan predikat telah dilakukan sama ada oleh DSN atau mana-mana orang lain yang mencemari RM4.3 juta dan RM5.2 juta tersebut. SP8 mengesahkan tidak ada apa-apa aktiviti haram ketika tertuduh menerima RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek P6, P8) dan penerimaan tersebut bukannya penerimaan hasil daripada aktiviti haram. Hujahan TPR bahawa kesalahan predikat adalah kesalahan di bawah AGP jelasnya bertentangan dan tidak selaras dengan kesalahan dalam pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua.
[42] TPR berhujah tertuduh tidak melaporkan RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterimanya (melalui cek) masing-masing dalam P48 dan P49. Kegagalan tertuduh untuk melaporkan sedemikian merupakan suatu kesalahan di bawah ss 112 dan 113 ACP. Kesalahan di bawah ss 112 dan 113 ACP disenaraikan sebagai salah satu kesalahan berat (kesalahan predikat) dalam Jadual Kedua AMLATFA. RM4.3 juta dan RM5.2 juta adalah hasil daripada aktiviti haram perlakuan kesalahan berat (kesalahan predikat) di bawah ss 112 dan 113 ACP.
[43] Takrif aktiviti haram (unlawful activity) dalam s 3 AMLATFA adalah seperti berikut:
"unlawful activity" means any activity which is related, directly or indirectly, to any serious offence or any foreign serious offence.
[44] Takrif hasil daripada aktiviti haram (proceeds of an unlawful activity) dalam s 3 AMLATFA adalah seperti berikut:
"proceeds of an unlawful activity" means any property derived or obtained, directly or indirectly, by any person as a result of any unlawful activity.
[45] Takrif kesalahan berat (serious offence) dalam s 3 AMLATFA adalah seperti berikut:
"serious offence" means-
(a) any of the offence specified in the Second Schedule;
(b) an attempt to commit any of those offences; or
(c) the abetment of any of those offences.
[46] Daripada takrif di atas aktiviti haram merujuk kepada suatu kesalahan berat yang mana ia adalah mana-mana satu daripada kesalahan yang disenaraikan dalam Jadual Kedua AMLATFA. Kesalahan yang disenaraikan dalam Jadual Kedua adalah kesalahan predikat bagi kesalahan pengubahan wang haram.
[47] Untuk membuktikan RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima oleh tertuduh adalah hasil daripada aktiviti haram, pihak pendakwaan mesti membuktikan perlakuan aktiviti haram yang mana ia adalah kesalahan predikat yang daripadanya RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu diperoleh (Azmi Osman v. Public Prosecutor & Another Appeal (supra); dan PP v. Kuala Dimensi Sdn Bhd & Ors (supra)).
[48] Persoalannya ialah sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan perlakuan suatu kesalahan predikat yang daripada mana RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu diperoleh.
[49] Saya dapati daripada keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, tiada langsung keterangan yang menunjukan apakah perlakuan kesalahan predikat yang daripada mana RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu diperoleh. Sebaliknya keterangan saksi pendakwaan sendiri iaitu Mohd Farid bin Jabar (SP8) mengesahkan dalam pemeriksaan balas bahawa tidak ada apa-apa aktiviti haram ketika tertuduh menerima RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek) dan penerimaan wang itu bukannya penerimaan hasil daripada aktiviti haram.
[50] Keterangan SP8 jelas menunjukan tidak ada perlakuan suatu kesalahan predikat (aktiviti haram) yang daripada mana RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu diperoleh dan penerimaan RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu bukannya penerimaan hasil daripada aktiviti haram.
[51] Adalah prinsip mantap bahawa pihak pendakwaan terikat dengan keterangan saksi-saksi mereka sendiri (lihat Lim Guan Eng v. PP & Other Appeals [1998] 1 MLRA 457).
[52] Oleh kerana tidak ada perlakuan suatu kesalahan predikat maka tidak mungkin ada hasil daripadanya. Tidak mungkin ada hasil daripada aktiviti haram di mana aktiviti haram (kesalahan predikat) itu tidak dibuktikan.
[53] Elemen utama kesalahan bahawa RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima itu adalah hasil daripada aktiviti haram gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
[54] Menurut TPR aktiviti haram adalah perlakuan kesalahan predikat di bawah ss 112 dan 113 ACP dan RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada aktiviti haram tersebut.
[55] Asas pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua ialah tertuduh menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui cek. Pada pandangan saya tarikh pada masa penerimaan adalah penting untuk menentukan RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada aktiviti haram. Ini kerana kesalahan pengubahan wang haram adalah berkaitan dengan hasil daripada aktiviti haram. Dalam perkataan lain ia merupakan suatu kesalahan post-predicate. Pihak pendakwaan mesti menunjukan perlakuan suatu kesalahan predikat dan hasil yang diperoleh daripada kesalahan predikat tersebut. Perlakuan suatu kesalahan predikat itu mestilah sebelum atau pada tarikh penerimaan hasil daripada aktiviti haram seperti dinyatakan dalam pertuduhan. Tarikh penerimaan hasil daripada aktiviti haram yang dinyatakan dalam pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua ialah 13 September 2013 dan 17 Februari 2014. Pihak pendakwaan mesti menunjukan sebelum atau pada tarikh penerimaan 13 September 2013 dan 17 Februari 2014 perlakuan suatu kesalahan predikat yang daripada mana RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu di peroleh. Keterangan yang ada di hadapan saya berkaitan perkara ini adalah keterangan SP8 yang mengesahkan dalam pemeriksaan balas bahawa tidak ada apa-apa aktiviti haram ketika tertuduh menerima RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek) dan penerimaan RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu bukannya penerimaan hasil daripada aktiviti haram.
[56] Hujahan TPR bahawa aktiviti haram adalah kesalahan predikat di bawah ss 112 dan 113 ACP dan RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada aktiviti haram tersebut tidak boleh diterima. Ini kerana perlakuan kesalahan predikat seperti dihujahkan TPR adalah selepas tarikh penerimaan RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang dinyatakan dalam pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua. Perlakuan kesalahan predikat tersebut bukan kesalahan predikat terdahulu yang daripada mana RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu diperoleh. Hujahan ini bertentangan dengan prinsip undang-undang dalam kes-kes yang diputuskan oleh mahkamah atasan (Azmi Osman v. Public Prosecutor & Another Appeal (supra); PP v. Kuala Dimensi Sdn Bhd & Ors (supra); dan Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak v. PP (supra)) mengenai kesalahan pengubahan wang haram yang mana ia adalah kesalahan berkaitan dengan hasil daripada aktiviti haram yang daripada mana hasil itu diperoleh iaitu suatu kesalahan post-predicate. Hujahan ini juga bertentangan dengan keterangan saksi pendakwaan sendiri SP8 bahawa tidak ada apa-apa aktiviti haram ketika tertuduh menerima RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek).
[57] Saya dapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima itu adalah hasil daripada aktiviti haram.
[58] Elemen kedua kesalahan gagal dibuktikan maka tiada keperluan untuk saya menimbang elemen ketiga kesalahan.
[59] Saya dapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan yang dipertuduhkan dalam pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua.
Pertuduhan Ketiga Dan Pertuduhan Keempat
[60] Seperti saya nyatakan di atas pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat adalah bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1) (a) AMLATFPUA. Asas pertuduhan ialah tertuduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram.
[61] Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUA memperuntukkan:
4.(1) Any person who-
(a) engages, directly or indirectly, in a transaction that involves proceeds of an unlawful activity or...;
(b) ...;
(c) ...;or
(d) ...,
commits a money laundering offence-
[62] Pada pandangan saya elemen kesalahan yang mesti dibuktikan oleh pihak pendakwaan ialah:
a) tertuduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi;
b) transaksi itu melibatkan hasil daripada aktiviti haram; dan
c) tertuduh tahu, mempunyai sebab untuk mempercayai atau mempunyai syak yang munasabah bahawa RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada aktiviti haram atau tertuduh tanpa alasan yang munasabah tidak mengambil langkah yang munasabah untuk menentukan sama ada atau tidak RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu adalah hasil daripada aktiviti haram.
[63] Melainkan elemen ketiga saya tidak setuju dengan hujahan TPR mengenai elemen pertama dan elemen kedua yang mesti dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
(a) Elemen Pertama Kesalahan: Tertuduh Melibatkan Diri Secara Langsung Dalam Transaksi
[64] Peguam tertuduh berhujah daripada takrif transaksi dalam s 3 AMLATFPUA suatu transaksi melibatkan harta yang dikatakan hasil daripada aktiviti haram adalah antara dua atau lebih orang. Tindakan tertuduh seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat iaitu membuat suatu penyata tidak betul dalam Penyata Pendapatan Borang B Tahun Taksiran 2013 dengan meninggalkan pendapatan RM4.3 juta yang telah diterima dan dalam Penyata Pendapatan Borang B Tahun Taksiran 2014 dengan meninggalkan pendapatan RM5.2 juta yang telah diterima tidak dapat dibuktikan kerana tiada apa-apa transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram berlaku pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015. Dalam apa jua keadaan tindakan tersebut bukan suatu transaksi melibatkan apa-apa harta hasil daripada aktiviti haram.
[65] TPR berhujah takrif transaksi di bawah s 3 AMLATFPUA menggunakan perkataan termasuklah berkaitan pembukaan akaun dan juga transaksi yang dibuat ke atasnya antara dua pihak manakala transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram di bawah s 4 tidak ditakrifkan. Transaksi di bawah s 4 adalah lebih luas jika dibandingkan dengan takrif transaksi di bawah s 3. Tindakan di bawah s 4(1)(b), (c), (d) adalah tindakan spesifik manakala di bawah s 4(1)(a) adalah tindakan secara am. Tindakan tertuduh yang membuat suatu penyata yang tidak betul dalam Penyata Pendapatan Borang B Tahun Taksiran 2013 dengan meninggalkan pendapatan RM4.3 juta yang telah diterima dan dalam Penyata Pendapatan Borang B Tahun Taksiran 2014 dengan meninggalkan pendapatan RM5.2 juta yang telah diterima adalah cara bagaimana tertuduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram.
[66] Pada pengetahuan saya ini adalah pertama kali seorang tertuduh dituduh di mahkamah dengan kesalahan di bawah s 4(1)(a) AMLATFPUA yang mana pertuduhan terhadapnya adalah seperti pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat iaitu telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dengan membuat suatu penyata yang tidak betul bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) ACP dengan meninggalkan pendapatan yang diterimanya. Saya tidak dapat menjumpai di dalam jurnal undang-undang dan atau laporan undang-undang keputusan mahkamah terdahulu yang berkaitan dengan pertuduhan seperti ini bagi kesalahan di bawah s 4(1)(a) AMLATFPUA.
[67] Pada pandangan saya transaksi adalah perkataan paling penting dalam s 4(1)(a) AMLATFPUA. Memang benar transaksi dalam s 4(1)(a) tidak diberikan takrif. Namun begitu s 3 AMLATFPUA memberikan takrif transaksi. Tindakan tertuduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram mestilah mengikut konteks takrif transaksi yang telah diberikan dalam s 3. Apa takrif transaksi dalam s 4(1)(a) hendaklah dirujuk kepada takrif transaksi seperti yang telah diberikan dalam s 3. Takrif transaksi dalam s 3 adalah terpakai. Ini seperti diperuntukkan dalam s 3(1) yang menyatakan seperti berikut:
3. (1) In this Act, unless the context otherwise requires-
Adalah tidak munasabah untuk mengatakan transaksi dalam s 4(1)(a) hendaklah ditakrifkan berlainan dengan takrif transaksi yang telah diberikan dalam s 3.
[68] Takrif transaksi (transaction) dalam s 3 AMLATFPUA adalah seperti berikut:
"transaction" includes an arrangement to open an account involving two or more persons and any related transaction between any of the persons concerned and another.
[69] Jelasnya daripada takrif di atas, suatu transaksi itu menghendaki dua perkara. Yang pertama suatu transaksi itu adalah antara dua pihak. Yang kedua suatu transaksi itu adalah mengenai pembukaan akaun dan apa-apa transaksi ke atasnya.
[70] Tindakan tertuduh yang membuat suatu penyata yang tidak betul dalam Penyata Pendapatan Borang B Tahun Taksiran 2013 dengan meninggalkan pendapatan RM4.3 juta yang telah diterima dan dalam Penyata Pendapatan Borang B Tahun Taksiran 2014 dengan meninggalkan pendapatan RM5.2 juta yang telah diterima jikapun boleh diterima sebagai cara bagaimana tertuduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram seperti dihujahkan TPR, ia masih tidak memenuhi kehendak transaksi sepertimana ditakrifkan. Pertamanya tindakan tertuduh hanyalah merupakan tindakan berseorangan tertuduh. Tindakan tertuduh tidak melibatkan satu pihak lain sedangkan ia mestilah melibatkan antara dua pihak. Keduanya tindakan tertuduh bukan mengenai pembukaan akaun dan apa-apa transaksi ke atasnya tetapi adalah suatu tindakan terhadap perkara lain. Justeru itu saya dapati tindakan tertuduh tidak termasuk dalam takrif transaksi seperti yang diberikan dalam s 3 dan tindakan tersebut bukan seperti yang diniatkan oleh s 3.
[71] Tindakan tertuduh jika pun ada lebih kepada perlakuan suatu kesalahan di bawah ss 112/113 ACP dan bukan suatu kesalahan pengubahan wang haram di bawah s 4(1)(a) AMLATFPUA. Sehubungan dengan itu kes-kes yang dirujuk oleh TPR di bawah ACP adalah tidak relevan.
[72] Saya dapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi.
(b) Elemen Kedua Kesalahan: Transaksi Itu Melibatkan Hasil Daripada Aktiviti Haram
[73] Dalam kes ini transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram adalah berkenaan dengan RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek) yang diterima tertuduh.
[74] Takrif aktiviti haram (unlawful activity) dalam s 3 AMLATFPUA adalah seperti berikut:
"unlawful activity" means-
(a) any activity which constitutes any serious offence or any foreign serious offence; or
(b) any activity which is of such a nature, or occurs in such circumstances, that it results in nor leads to commission of any serious offence or any foreign serious offence, regardless whether such activity, wholly or partly, takes place within or outside Malaysia.
[75] Takrif hasil daripada aktiviti haram (proceeds of an unlawful activity) dalam s 3 AMLATFPUA adalah seperti berikut:
"proceeds of an unlawful activity" means any property, or any economic advantage or economic gain from such property, within or outside Malaysia-
(a) which is wholly or partly-
(i) derived or obtained, directly or indirectly, by any person from any unlawful activity;
(ii) derived or obtained from a disposal or other dealings with the property referred to in subparagraph (i); or
(iii) acquired using the property derived or obtained by any person through any disposal or other dealings referred to in subparagraph (i) or (ii); or
(b) which, wholly or partly, due to any circumstances such as its nature, value, location or place of discovery, or to the time, manner or place of its acquisition, or the person from whom its acquired, or its proximity to other property referred to in subparagraph(a)(i), (ii) or (iii), can be reasonably believed to be property falling within the scope of sub-paragraph (a)(i), (ii) or (iii).
[76] Takrif kesalahan berat (serious offence) dalam s 3 AMLATFPUA adalah seperti berikut:
"serious offence" means-
(a) any of the offences specified in the Second Schedule;
(b) an attempt to commit any of those offences; or
(c) the abetment of any of those offences.
[77] Daripada takrif di atas aktiviti haram merujuk kepada suatu kesalahan berat atau mengakibatkan atau menyebabkan perlakuan suatu kesalahan berat yang mana ia adalah mana-mana satu daripada kesalahan yang disenaraikan dalam Jadual Kedua AMLATFPUA. Kesalahan yang disenaraikan dalam Jadual Kedua adalah kesalahan predikat bagi kesalahan pengubahan wang haram.
[78] RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima tertuduh adalah juga hal perkara sama bagi pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua. Saya telah membuat dapatan bagi pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek) yang diterima tertuduh adalah hasil daripada aktiviti haram. Saya telah memberikan alasan-alasannya (perenggan 46-56 penghakiman ini). Dapatan saya ini terpakai juga bagi pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat.
[79] Saya dapati pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa RM4.3 juta dan RM5.2 juta (melalui cek) yang diterima tertuduh adalah hasil daripada aktiviti haram.
[80] Elemen pertama dan elemen kedua kesalahan gagal dibuktikan maka tiada keperluan untuk saya menimbang elemen ketiga kesalahan.
[81] Saya dapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan yang dipertuduhkan dalam pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat.
Kesimpulan
[82] Daripada semua keterangan yang ada di hadapan saya sekarang adalah tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri atas empat pertuduhan tersebut dan saya tidak bersedia untuk mensabitkan tertuduh jika pembelaan dipanggil dan tertuduh memilih untuk berdiam diri.
[83] Dengan itu tertuduh adalah dilepaskan dan dibebaskan daripada semua empat pertuduhan tersebut tanpa dipanggil untuk membela diri.