Cases
PENGHAKIMAN
Che Mohd Ruzima Ghazali HMR:
Pendahuluan
[1] Terdapat empat permohonan yang berbeza dikemukakan oleh Pendakwa Raya menurut k 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk mengkaji semula keputusan majoriti Mahkamah ini bertarikh 27 Ogos 2024 (keputusan 27 Ogos 2024) yang telah membenarkan permohonan-permohonan yang dikemukakan oleh Phrueksa Taemchim (Phrueksa) warganegara Thailand, Mailesi Phiri (Mailesi) warganegara Zambia, Jiva a/l Gopal Krishnan (Jiva) dan Balakrishnan a/l Purushotaman (Balakrishnan) kedua-duanya warganegara Malaysia, untuk menyemak hukuman mati menurut s 2 Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) walaupun pada ketika itu Phrueksa, Mailesi, Jiva dan Balakrishnan telah pun memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA)/Sultan/Yang di-Pertua Negeri (YDPN) negeri masing-masing.