Cases
PENGHAKIMAN
Mohamad Abazafree Mohd Abbas H:
Pendahuluan
[1] Kes ini melibatkan satu rayuan oleh Perayu iaitu Orang Berinsurans (OB) ke atas keputusan Ketua Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial melalui Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS) pada 25 Januari 2023 yang telah menolak rayuan Perayu. Secara amnya, JRKS memutuskan bahawa kemalangan yang berlaku ke atas Perayu pada 13 Mei 2021 adalah bukan merupakan bencana kerja sepertimana di bawah s 24(1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Fakta Kes
[2] Secara amnya, fakta kes bolehlah diringkaskan seperti berikut:
a) Perayu merupakan seorang Penggerak di Islamic Outreach ABIM yang di dalam masa sama juga melaksanakan tugas sebagai staf bahagian teknikal dan runner;
b) Pada 13 Mei 2021 jam lebih kurang 5.00 pagi, semasa Perayu dalam perjalanan dari tempat kerja iaitu di Islamic Outreach ABIM Kelantan, Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli Kok Lanas, 16450 Ketereh, Kelantan ke rumah Perayu iaitu di Taman Jintan Rahimah, Beris Lalang, Bachok, Perayu telah terlibat dengan satu kemalangan jalan raya;