PENDAKWA RAYA lwn. PHRUEKSA TAEMCHIM & RAYUAN YANG LAIN

[2026] 2 MLRA 337

PENDAKWA RAYA lwn. PHRUEKSA TAEMCHIM & RAYUAN YANG LAIN
Mahkamah Persekutuan, Putrajaya
Wan Ahmad Farid Wan Salleh KHN, Abu Bakar Jais PMR, Hasnah Mohammed Hashim KHM, Azizah Nawawi HBSS, Che Mohd Ruzima Ghazali HMR
[Rayuan Jenayah Nos: 05(RJ)-7-11/2024(W), 05(RJ)-9-11/2024(P) & 05(RJ)-11-12/2024(P)]
24 November 2025

PENGHAKIMAN

Che Mohd Ruzima Ghazali HMR:

Pendahuluan

[1] Terdapat empat permohonan yang berbeza dikemukakan oleh Pendakwa Raya menurut k 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk mengkaji semula keputusan majoriti Mahkamah ini bertarikh 27 Ogos 2024 (keputusan 27 Ogos 2024) yang telah membenarkan permohonan-permohonan yang dikemukakan oleh Phrueksa Taemchim (Phrueksa) warganegara Thailand, Mailesi Phiri (Mailesi) warganegara Zambia, Jiva a/l Gopal Krishnan (Jiva) dan Balakrishnan a/l Purushotaman (Balakrishnan) kedua-duanya warganegara Malaysia, untuk menyemak hukuman mati menurut s 2 Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) walaupun pada ketika itu Phrueksa, Mailesi, Jiva dan Balakrishnan telah pun memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA)/Sultan/Yang di-Pertua Negeri (YDPN) negeri masing-masing.

[2] Berdasarkan perkembangan semasa berkaitan dengan permohonan kajian semula oleh Pendakwa Raya terhadap Balakrishnan, Mahkamah ini telah membatalkan permohonan tersebut pada 4 September 2025 atas alasan bahawa notis permohonan gagal diserahkan kepada Balakrishnan kerana dia telah dibebaskan daripada penjara selepas tempoh pemenjaraannya tamat kesan daripada keputusan 27 Ogos 2024. Dengan itu, pendengaran permohonan kajian semula hanya diteruskan terhadap tiga orang yang lain dan didengar secara serentak.

[3] Untuk memudahkan sebutan, pihak-pihak akan dirujuk berdasarkan nama masing-masing iaitu Pendakwa Raya, Phrueksa, Mailesi, Jiva dan Balakrishnan. Secara jamak, Phrueksa, Mailesi dan Jiva akan dirujuk sebagai responden-responden.

Latar Belakang Ringkas Permohonan

[4] Responden-responden dan Balakrishnan telah disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah berbahaya menurut perenggan 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) dan telah dijatuhkan hukuman mati mandatori. Hukuman tersebut kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan selepas melalui semua peringkat rayuan.

Sign up to view full cases Login